Kenapa Kena Belajar Bahasa Inggeris ?

Bidang pembangunan perisian adalah satu bidang kerjaya yang unik berbanding bidang-bidang lain. Kenapa saya kata begitu ? Kita ambil satu contoh yang mudah dan sentiasa menjadi elemen penting dalam kerjaya - pengalaman.

Pengalaman adalah satu dilema bagi mereka yang ingin memulakan kerjaya. Orang putih kata ‘chicken and egg problem’. Majikan ingin mendapatkan pekerja yang mempunyai pengalaman tetapi jika mereka tidak diberi peluang untuk memulakan kerjaya, bagaimana mereka mahu mendapatkan pengalaman ?

Contohnya, jika anda memohon pekerjaan sebagai seorang jurutera awam disebuah syarikat pembinaan dan jawatan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan awam. Jika anda baru sahaja keluar universiti bagaimana anda boleh ada pengalaman dalam sebuah projek pembinaan jalan raya, jambatan atau bangunan selama 3 tahun ? Latihan industri paling lama hanya 6 bulan, dan selebihnya banyak dihabiskan dalam kuliah di universiti, bukan di tapak projek ataupun dalam team yang membangunkan projek KLCC, Putrajaya, MRT, Second Link Expressway dan sebagainya.

Namun dalam pembangunan perisian, ia bukannya satu isu. Seawal anda menjejakkan kaki ke universiti (atau lebih awal daripada itu), anda sudah boleh melibatkan diri dalam projek perisian mega seperti Linux Kernel, BSD OS, Android, Firefox, Chrome, Wordpress, Drupal, Laravel, Django, Ruby on Rails dan banyak lagi. Anda boleh bermula mungkin dengan hanya membantu mereka yang lain yang turut ingin belajar (user support), kemudian dengan menyumbang kepada dokumentasi-dokumentasi projek tersebut dan seterusnya menjadi developer yang aktif dalam pembangunan kod sekali.

Semuanya terbuka luas untuk anda sertai, tanpa perlu melalui sebarang interview atau memerlukan surat sokongan daripada mana-mana pihak. Apa yang anda perlu kuasai cuma satu, (mungkin dua) - Bahasa Inggeris (BI) dan kemahiran menyampaikan idea anda melalui tulisan. Yang kedua boleh diasah dan dikuasai secara perlahan-lahan.

xxx

Written on May 24, 2015