Ringkasan tulisan Moxie berkaitan web3

Ringkasan tulisan Moxie berkaitan web3. Untuk yang tidak kenal, dia adalah developer Signal yang mana sistem enkripsinya digunakan dalam Whatsapp.

  1. Istilah web3 agak kabur apa yang dimaksudkan sebenarnya tapi pada kefahaman beliau, boleh dianggap web1 sebagai decentralized web, web2 centralized dan web3 cuba nak jadi decentralized balik. Yang dimaksudkan di sini adalah pada permulaan web, visinya adalah semua orang ada keupayaan utk terbitkan maklumat pada platform masing2. Setiap orang boleh setup web server sendiri, email server sendiri dan sebagainya.
  2. Kemudian kita sedar, walaupun secara teknikal boleh, untuk setup dan run kesemua services ni perlukan sumber masa, tenaga dan wang ringgit yang banyak. Ini disedari oleh korporat dan perkhidmatan seperti hotmail dan kemudian gmail muncul. Sedikit demi sedikit orang dah tak guna email server sendiri lagi sebab perkhidmatan yang disediakan gmail lebih efisien.
  3. Pada masa ini, penerbitan maklumat melalui blog dan website peribadi masih tinggi. Tapi perkhidmatan utk fungsi ini mula muncul seperti blogspot, livejournal dan kemudian wordpress.com. Pembangunan komuniti online juga masih berbentuk self-hosted, menggunakan aplikasi seperti phpbb atau ada satu lagi aplikasi berbayar aku lupa nama dia yang agak popular juga kalau nak bina online group.
  4. FB muncul dan mula merubah bagaimana maklumat diterbitkan di Internet dan bagaimana komuniti online dibentuk. Pada satu sudut, ia meliberalkan akses kepada teknologi penerbitan online. Semua orang kini dapat membina platform penerbitan sendiri dengan sangat mudah sekali.
  5. Dunia online akhirnya hanya berkisar pada google, facebook, amazon, twitter dan microsoft. Ini adalah kemuncak kpd centralization.
  6. Jadi mungkin inilah yang cuba dirubah oleh web3.
  7. Moxie adalah cryptographer, protocol Signal yang dia bina akhirnya digunakan dalam whatsapp. Tapi ini yang dia tulis selepas meneroka dunia web3:- One of the surprising things to me about web3, despite being built on “crypto,” is how little cryptography seems to be involved!
  8. web3 selalu mengenengahkan decentralization sebagai ciri utama yang membezakannya dgn web2. Tapi apabila Moxie cuba membina dApps, dia melihat ciri2 centralization dalam web2 sebenarnya turut wujud dalam web3. Walaupun blockchain itu sendiri decentralized, pembinaan dApp banyak bertumpu hanya kepada beberapa platform utama yang popular. Dan ia tidak menghairankan. Web1 bermula sebagai decentralized platform tapi kita akhirnya sedar tak semua orang mahu run server sendiri, yang membawa kepada wujudnya platform oleh Google, FB, Amazon dsbnya.
  9. Dan benda ini berulang sekali lagi dalam web3. Walaupun secara teori semua orang boleh download blockchain ke komputer sendiri utk mencapai data2 yang ada, ia adalah tidak praktikal sama sekali dengan saiz blockchain itu sendiri yang sentiasa meningkat. Akhirnya wujud platform-platform yang menawarkan API untuk mengakses data dalam blockchain. Dan apa yang platform2 ni buat tiada beza dengan Google, FB dan semua centralized services dalam web2. Akhirnya, FB, Amazon, Google cuma diganti oleh Infura, OpenSea, Coinbase dan Etherscan.
  10. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, walaupun web3 berasaskan kripto, tapi tidak banyak kripto yang terlibat. Moxie memberi contoh NFT, walaupun maklumat pembinaan dan pemilikan token itu disimpan dalam blockchain, tapi utk menyimpan token itu sendiri dalam blockchain adalah tidak praktikal kerana ruang storan yang terhad dan kos yang tinggi bagi setiap bytes nak diletakkan dalam blockchain. Jadi amalan yang digunakan sekarang cuma rujukan kepada token yang disimpan dalam blockchain iaitu dalam bentuk url yang akan menjana token sebenar. Tapi apabila token itu ditunjukkan, tiada sebarang pengesahan (hash guaranty) digunakan untuk menentukan token yang ditunjukkan adalah token yang sama sepertimana yang direkod dalam blockchain.
  11. Moxie tunjukkan PoC (proof of concept) masalah di atas dgn membina satu NFT, yang diletakkan kat OpenSea dan Rarible. Walaupun ia NFT yg sama, ia kelihatan berlainan pada kedua-dua platform tersebut. Dan bila dilihat dalam wallet, ia kelihatan lain lagi, kali ini dia tunjuk gambar taik, oops. Beli gambar monyet, tapi dapat gambar taik, umpamanya.
  12. Apa yang cuba dibuat melalui web3, boleh saja dibuat dalam web2 tapi ia tidak akan menarik sebarang minat kerana tiada kaitan dgn kripto. Dan centralization pada platform yang cuba dielakkan sebenarnya sedikit demi sedikit dah mula bertapak dalam web3. Penggalak sebenar web3 tidak berminat pun dengan decentralization, tapi di mana duit berlegar.
  13. Web3 masih pada peringkat awal jadi tidak menghairankan golongan dev begitu teruja dengannya, ia seakan memberi peluang untuk kita membina semula Internet, sesuatu yang mungkin kebanyakkan generasi developer sekarang yang terlepas peluang dengan web1, walaupun akhirnya ia hanya mengulang kitaran yang sama.
  14. Mengharapkan web3 menghasilkan visi decentralization mungkin akan berakhir dengan kekecewaan, tapi jika duit yang dicari, melihat kepada momentum yang ia terima setakat ini, tiada tanda ia akan berakhir jadi mungkin itu boleh dijadikan matlamat jika mahu masuk ke dunia web3.
Written on January 31, 2022